Niat puasa Ramadhan sebulan dan harian serta doa berbuka puasa

Berpuasa di bulan Ramadan merupakan satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim.

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu. Daripada istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.

Puasa mempunyai dua rukun sahaja, iaitu niat dan menahan diri. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan dan minum bermula dari terbit fajar (Subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).

Puasa menjana keperibadian Muslim. Bulan puasa iaitu bulan Ramadan akan dapat mendidik amal, iman dan ketakwaan kepada setiap Muslim.

Selain berpuasa menahan lapar dan dahaga umat Islam juga diminta menjauhi dusta, fitnah, mengumpat dan melihat perkara yang haram.

Lafaz Niat Puasa Ramadhan Sebulan Atau Harian Serta Doa Berbuka Puasa

Tidaklah sempurna puasa dengan semata-mata meninggalkan makan dan minum, bahkan sesungguhnya puasa adalah disertai dengan meninggalkan atau mendengar perkataan yang sia-sia pada siang hari.

I) Lafaz Niat Puasa Ramadhan Sebulan (Sepenuhnya)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala
Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

II) Lafaz Niat Puasa Bulan Ramadhan (Harian)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala
Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

III) Bacaan Doa Berbuka Puasa

اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين
Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa‘alaa rizqika afthartu birahmatika yaa arhamarroohimiin
Ya Allah, bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman, dengan rezeki Engkau aku berbuka, dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka. Pada bulan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.

Info Berkaitan