Tarikh puasa bulan Rejab 2024-1445H dan niat puasa Rejab

KITA akan memasuki bulan Rejab pada 13 Januari 2024 Masihi bersamaan 1 Rejab 1445 Hijrah mengikut kiraan kalendar Masihi bersama perbandingan tahun Hijrah.

Bulan Rejab cukup sinonim dalam masyarakat Islam dengan kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalamnya. Ada di antaranya yang sahih dan ada pula yang tidak benar dan boleh dipercayai.

Pendek kata, bulan Rejab mempunyai auranya tersendiri kerana ia bulan yang mana umat Islam hampir dengan bulan Ramadan yang mulia.

Dalam memperkatakan bulan Rejab, kita juga tidak akan terlepas daripada membicarakan fadhilatnya hingga ada yang beranggapan ibadat pada bulan ini diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Bagaimanapun, terdapat ulama menyatakan bahawa tanggapan seperti itu tidak benar kerana hakikat pahala dan ganjaran yang disediakan kepada orang yang beramal soleh hanya Allah sahaja maha mengetahui. Sungguhpun begitu, Allah telah berjanji bahawa mereka yang berusaha meningkatkan keimanan kepada-Nya akan mendapat ganjaran sewajarnya.

Tarikh Puasa Bulan Rejab 2024M-1445H Dan Niat Puasa Rejab Serta Amalan Di Bulan Rejab

Seperti mana bulan-bulan yang lain, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat dan berpuasa sunat adalah antara ibadat terbaik untuk dilakukan.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan zikirullah dengan cara membaca al-Quran, berwirid, bertahmid dan bertasbih.

1 Rejab 1445 Hijrah Di Malaysia Bersamaan

13 Januari 2024, Sabtu

Lafaz Niat Puasa Sunat Bulan Rejab

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ فِى شَهْرِ رَجَبِ سُنَّةً ِللهِ تَعَالَى

Nawaitu Sauma Ghodin Fii Syahri Rajab Sunnatan Lillahi Taala

Sahaja Aku Berpuasa Sunat Esok Hari Dalam Bulan Rejab Kerana Allah Taala

  • Sebagai pengetahuan, tiada hadis sahih yang mengkhususkan puasa sunat di bulan Rejab, kerana menurut sebahagian ulama menyarankan umat Islam memperbanyakkan puasa sunat di keseluruhan bulan haram (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) tanpa mengkhususkan di bulan sunat Rejab sahaja.
  • Selain itu, tidak ada hadis sahih yang melarang atau menganjurkan secara khusus berpuasa di bulan Rejab, maka hukumnya sama di bulan lainnya iaitu anjuran berpuasa secara umum.
  • Justeru, kedatangan bulan Rejab ini harus dimanfaatkan oleh Umat Islam dengan sebaik-baiknya. Dengan cara itu diharap dapat menjadikan kita sebagai insan yang bertakwa di sisi Allah.