Kebaikan Teknologi Hijau Dalam Melestarikan Alam Sekitar

Untuk membantu pelajar meluaskan pengetahuan dalam karangan Bahasa Melayu, di bawah dikongsikan contoh karangan kebaikan teknologi hijau dalam melestarikan alam sekitar. Tema dan soalan yang berkaitan juga boleh dirujuk untuk mendapatkan contoh isi-isi penting serta huraian yang sesuai untuk digunakan.

Penulisan karangan Bahasa Melayu adalah salah satu komponen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Pelajar dikehendaki untuk menulis karangan berdasarkan soalan atau tajuk yang diberikan mengikut format yang telah dipelajari di dalam kelas.

Soalan atau tajuk karangan pula mempunyai pelbagai tema yang berbeza-beza dan bergantung kepada pengetahuan pelajar untuk memilih atau menjawab soalan pilihan. Lebih-lebih lagi apabila karangan yang menggunakan format seperti penulisan surat rasmi di mana pelajar perlu menjawab mengikut format yang betul dan tepat.

Contoh Karangan Kepentingan Teknologi Hijau Dalam Melestarikan Alam Sekitar

Di bawah dikongsikan contoh karangan Kelebihan Teknologi Hijau Dalam Melestarikan Alam Sekitar.

karangan kebaikan teknologi hijau untuk kelestarian alam sekitar

Pendahuluan

“Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya, kita hanya meminjam alam persekitaran ini daripada generasi akan datang”. Kenyataan ini secara jelas menunjukkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Persis kata-kata daripada Mahatma Gandhi, sumber alam ini cukup untuk kemahuan manusia tetapi tidak cukup untuk ketamakan manusia.

Kemusnahan alam sekitar berlaku selepas revolusi perindustrian berlaku yang mengubah ekonomi dan keperluan manusia secara komersial dan global. Walau bagaimanapun, kebijaksanaan manusia melalui kajian dan penyelidikan telah melahirkan teknologi-teknologi hijau yang tidak mengancam kewujudan alam sekitar. Oleh yang demikian, mustahak untuk kita ketahui kelebihan teknologi hijau dalam melestarikan alam sekitar.

Isi 1 – Mengurangkan pencemaran alam sekitar

Antara kebaikan yang diperoleh alam sekitar dengan implementasi teknologi ini dalam dunia hari ini adalah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar daripada berlaku.  Teknologi canggih yang digunakan mempunyai tahap pelepasan karbon yang rendah seperti penggunaan hidro dan solar.  Secara langsung pembebasan gas rumah hijau akan rendah dan mengurangkan ancaman pemanasan global yang meningkatkan suhu bumi sebelum ini.

Pencemaran udara, air dan darat dapat berkurang apabila lebih banyak produk yang menggunakan teknologi hijau. Misalnya, penggunaan kereta elektrik atau lebih dikenali sebagai EV. Kereta ini bergerak menggunakan tenaga elektrik yang boleh dijana melalui kuasa hidro dan solar serta tidak mengeluarkan karbon seperti pembakaran kuasa oleh petrol di kenderaan konvensional. Walaupun peralihan ke arah teknologi hijau ini tidak berlaku secara drastik kerana kosnya yang mahal tetapi sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Jelaslah bahawa teknologi hijau dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Isi 2 – Mengurangkan pergantungan terhadap sumber asli

Pada masa yang sama, penggunaan teknologi hijau dapat mengurangkan pergantungan terhadap sumber asli yang terkandung dalam alam sekitar kita. Sejak berlaku revolusi perindustrian, masyarakat dunia telah menjarah sumber-sumber asli seperti gas dan petroleum yang semakin berkurangan dari hari ke hari. Sumber asli ini memerlukan proses yang memakan masa ratusan malah ribuan tahun untuk menjadi gas atau petroleum yang kita gunakan pada hari ini. Jika ianya habis, bagaimana anak dan cucu kita mahu meneruskan kehidupan mereka?

Persoalan ini mengukuhkan sebab mengapa kita perlu mengurangkan pergantungan kepada sumber asli. Semua pihak perlu bersedia dan menggalakkan perubahan menggunakan teknologi hijau demi kepentingan generasi akan datang. Ibarat peribahasa Melayu, beringat sebelum kena, jimat sebelum habis. Intihannya, usaha melestarikan alam sekitar dapat dijayakan dengan menggunakan teknolo9gi hijau yang sekaligus mengurangkan pergantungan kita terhadap sumber asli.

Isi 3 – Meningkatkan tahap kesihatan persekitaran

Di samping itu, teknologi hijau dapat meningkatkan tahap kesihatan persekitaran. Dalam usaha kita untuk melestarikan alam, sektor pertanian dan perladangan juga wajar mendapat manfaat teknologi hijau. Tamsilnya, penggunaan bioteknologi yang menghasilkan tanaman yang lebih sihat dan kebal melawan serangga serta penyakit. Kaedah yang memerlukan banyak kajian dan penyelidikan di dalam makmal dan secara praktikal di lapangan perlu digalakkan oleh agensi kerajaan.

Contoh lain adalah penanaman secara hidroponik yang tidak menggunakan tanah, menggabungkan penternakan ikan serta mewujudkan persekitaran yang boleh dikawal. Teknologi ini bukan sahaj menjimatkan kawasan perladangan dan hutan yang perlu ditebang tetapi juga memanfaatkan kawasan perindustrian yang telah terbiar dengan wujudnya penanaman hidroponik secara bertingkat seperti di negara luar. Tegasnya, penggunaan teknologi hijau dapat meningkatkan tahap kesihatan alam sekitar yang selama ini diancam pencemaran kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Isi 4 –Mengelak ancaman bencana alam

Akhir sekali, ancaman bencana alam dapat dielakkan sekiranya kita menggunakan teknologi hijau khususnya dalam pembangunan sesebuah infrastruktur. Mutakhir ini, kita sering digemparkan dengan berita kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang mengancam keselamatan kita. Perkara ini bukan sahaja akan berulang jika tiada tindakan diambil malah akan meragut lebih banyak nyawa dan mengorbankan tempat tinggal atau rumah yang menjadi kediaman sesebuah keluarga sebelum ini.

Maka, implementasi teknologi hijau dalam setiap elemen pembangunan perlu diwajibkan oleh pihak berkuasa mulai sekarang. Contohnya, mewujudkan lebih banyak kolam takungan air yang juga berfungsi sebagai pusat rekreasi untuk penduduk setempat. Bukan sahaja dapat mengelakkan banjir kilat daripada berlaku tetapi juga memberikan manfaat kepada masyarakat.

Penutup

Kesimpulannya, banyak kelebihan daripada teknologi hijau dalam melestarikan alam sekitar kita. Konsep pembangunan lestari perlu dipraktikkan dan asimilasi di setiap peringkat mulai sekarang demi kelangsungan generasi akan datang. Obligasi ini merupakan satu tugas yang sukar tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan agar generasi akan datang dapat menikmati kualiti hidup yang sama atau lebih baik daripada apa yang kita nikmati hari ini. Sediakan payung sebelum hujan, peribahasa yang jelas mengingatkan kita untuk sentiasa bersedia sebelum dilanda musibah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Isi penting lain yang boleh digunakan :

  1. Membuka peluang pekerjaan dan bidang baharu
  2. Mengurangkan pemanasan global

Related : mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria, sumber bahan api, pembangunan teknologi hijau, mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga, alam sekitar untuk memulihara, kesan negatif daripada aktiviti manusia, penggunaan tenaga, kementerian tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga, sains alam sekitar untuk, meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi, menjimatkan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga, menjimatkan tenaga dan sumber, selamat untuk memulihara sumber dan alam, sektor tenaga, kesedaran awam, pembangunan mapan, meningkatkan kualiti, mesra alam, industri teknologi hijau negara, sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam, penggunaan bahan,