Semak status CCRIS secara online

Sekiranya seseorang itu mempunyai rekod yang buruk dalam membuat bayaran balik pinjaman atau tunggakan dari mana-mana institusi kewangan, rekod tersebut akan disenaraikan dalam status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat atau Central Credit Reference Information System (CCRIS). Ini akan merumitkan lagi urusan buat seseorang itu untuk membuat pinjaman dan yang berkaitan dengannya pada waktu akan datang.

Selain itu, penjamin pinjaman juga mungkin berdepan dengan masalah yang sama akibat tindakan peminjam. Antara masalah lain yang mungkin dihadapi adalah tidak dapat untuk ke luar negara akibat tunggakan pinjaman atau telah diisytihar sebagai muflis. Individu yang mengalami masalah seperti ini boleh membuat semakan status senarai hitam melalui sistem CCRIS.

Kini urusan tersebut sudah dipermudahkan dengan cara atas talian (online) sahaja. Sebelum ini, individu perlu hadir sendiri ke ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNM). Kemudian individu yang mengambil laporan tersebut hendaklah membawa bersama kad pengenalan dan membuat pengesahan cap jari. Hal ini dianggap agak remeh dan menyukarkan orang ramai untuk melakukan semakan.

Sesuai dengan peredaran zaman di mana semua perkara berada di hujung jari sekarang, semakan status CCRIS boleh dibuat secara online. Ini sudah pasti memudahkan lagi rakyat Malaysia untuk mengetahui status kredit mereka yang terkini. Sekiranya nama anda tersenarai dalam CCRIS seperti peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sila berhubung dengan pihak berkenaan untuk melakukan bayaran agar tidak berdepan dengan masalah pada masa akan datang.

Semakan Status CCRIS (Laporan Kewangan Individu) Secara Online

Jadual di bawah adalah langkah-langkah untuk membuat semakan status CCRIS secara atas talian (online). Turut dikongsikan juga apa itu CCRIS dan CTOS serta beberapa maklumat penting yang berkaitan.


Definisi CCRIS

  • Dari segi istilah CCRIS adalah Central Credit Reference Information Centre atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat. Ia merupakan satu sistem yang merekodkan laporan kewangan individu di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM). Laporan tersebut merekodkan transaksi bayaran 12 bulan terkini. Selain itu sistem ini juga merekodkan butiran jumlah kad kredit tertunggak, permohonan kad kredit dan akaun perhatian khas (pinjaman terjejas).
  • Menurut Biro Kredit BNM, CCRIS adalah sebuah sistem yang mengumpulkan rekod serta maklumat kewangan peserta daripada institusi kewangan kemudian memberikan maklumat ini kepada institusi kewangan lain. Ini memudahkan mereka melihat disiplin individu tersebut dalam membuat bayaran pinjaman mereka.
  • Perlu ditekankan, CCRIS bukan sistem yang menyenarai hitamkan individu. Rekod kewangan yang baik memudahkan lagi individu untuk membuat pinjaman atau berurusan dengan institusi kewangan.

Kategori Maklumat CCRIS

  • Pinjaman Terkumpul

Pinjaman Terkumpul termasuklah pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, sewa beli, overdraft, kad kredit dan lain-lain. Maklumat tersebut adalah seperti jumlah baki, kelakuan transaksi bayaran, had, dan status undang-undang jika ada

  • Akaun Perhatian Khas

Akaun ini lazimnya adalah akaun yang dianggap Pinjaman Tidak Berbayar (NPL), atau di bawah jadual pengurusan hutang khas. Seperti yang dirundingkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

  • Jumlah Pinjaman dan Kemudahan Kredit

Jumlah pinjaman atau kemudahan kredit seseorang yang telah diluluskan atau tidak diluluskan

Definisi CTOS

  • CTOS pula merupakan sebuah syarikat swasta yang menyediakan laporan kredit. CTOS mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber awam seperti Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Companies Commission Malaysia (CCM). CTOS juga berfungsi untuk memberi laporan dan menilai risiko memberi pinjaman kepada peminjam. Kebanyakan agensi kewangan menggunakan lebih dari satu laporan dan salah satunya adalah daripada CTOS
  • Untuk berhubung secara terus dengan CTOS sila klik pautan ini:
  • Pusat perkhidmatan CTOS

Langkah Membuat Semakan CCRIS Secara Online

Pendaftaran eCCRIS

  1. Hadir ke Bank Negara Malaysia (BNM) atau mana-mana cawangannya pada waktu pejabat untuk mendaftar maklumat peribadi.
  2. Daftar sebagai pengguna melalui kiosk CCRIS yang tersedia di BNM
  3. Lengkapkan segala maklumat yang diperlukan (Isikan no telefon yang sah untuk mendapatkan nombor pin)
  4. Setelah selesai mendaftar, nombor pin 6 digit akan dihantar pada nombor telefon yang didaftarkan
  5. Log masuk ke sistem eCCRIS dengan klik pautan berikut:
  6. Login Sistem eCCRIS BNM
  7. Untuk pengguna kali pertama log masuk sila klik butang “First Time Login”
  8. Pilih kewarganegaraan seperti yang tertera
  9. Masukkan nombor kad pengenalan sebagai ID pengguna. Masukkan juga nombor pin untuk pengaktifan akaun pengguna dan tekan butang hantar
  10. Masukkan ID pengguna untuk mengakseskan akaun. Masukkan juga e-mail pengguna dan tetapkan kata laluan sendiri serta tekan butang hantar.
  11. Pilih imej keselamatan serta masukkan frasa keselamatan. Pengguna juga perlu memilih soalan keselamatan dan memberikan jawapan bagi setiap soalan keselamatan yang dipilih serta tekan butang hantar
  12. Setelah semua maklumat diisi, mesej pengesahan akan dihantar dan setelah itu laporan CCRIS boleh diakses.

Muat Turun Laporan eCCRIS

  1. Log masuk ke sistem eCCRIS BN
  2. Login Sistem eCCRIS BNM
  3. Setelah berjaya masuk ke sistem, pilih “CARIAN”, kemudian klik “Carian Sendiri – Individu”
  4. Tandakan kotak “Saya Setuju” bagi menyatakan persetujuan terhadap kenyataan Penafian dan tekan butang “Carian Laporan”
  5. Setelah laporan dipaparkan, klik butang “Muat turun”
  6. Laporan yang telah dimuat turun akan disimpan dalam Portable Document Format (PDF) dan dilindungi oleh kata laluan seperti berikut:
    1. -Tarikh carian laporan (Contoh: 30Mar2019, 10Jan2019)
    2. Tiga (3) aksara pertama ID Pengguna anda (Zulkifli, Siti)
    3. Contoh: 30Mar2019Zul, 10Jan2019Sit
  7. Setelah berjaya memasukkan kata laluan, tekan butang OK untuk membuka laporan

Maklumat Lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai eCCRIS boleh rujuk maklumat berikut:

BNMLINK Kuala Lumpur
Tingkat Bawah, Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur

Talian : 03-26988044 / 03-21741717 (Luar Negara)