Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim

Memiliki rumah kediaman pertama menjadi impian setiap rakyat di negara kita. Berita baik buat rakyat bangsa Johor atau negeri Johor yang belum mempunyai sebarang hartanah, anda berpeluang untuk memiliki rumah pertama melalui skim Rumah Impian Bangsa Johor di bawah kelolaan Yayasan Sultan Ibrahim. Projek ini merupakan salah satu inisiatif Keluarga Diraja Johor dalam meringankan beban rakyat.

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan memperkenalkan skim ini pada sambutan hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-59. Pada tahun 2017, sebanyak lebih kurang 1800 unit rumah diumumkan akan dibina di sekitar Johor Bahru yang terdiri daripada pelbagai jenis rumah dengan harga yang mampu untuk dimiliki.

Terkini pada 31 Oktober 2018, Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkenan merasmikan Pejabat Yayasan Sultan Ibrahim (YSIJ) yang terletak di Larkin Sentral sekaligus melancarkan Sistem Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) yang telah ditambah baik daripada sistem sebelum ini. Ia bertujuan untuk memastikan senarai pemohon RIBJ yang dilancarkan 22 Mac 2017 diberikan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja mengikut syarat yang digariskan.

Pada minggu sebelumnya, Tunku Mahkota Johor juga telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembinaan 1000 lagi unit Rumah Impian Bangsa Johor yang akan dibina di Kampung Sri Pantai, Daerah Mersing, Johor. Projek ini akan dilaksanakan di tanah kurnia Sultan Johor seluas 57 hektar melibatkan pembinaan pelbagai unit kediaman serta rumah kedai yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas lain seperti dewan serbaguna dan motel.

Projek ini akan dibina dan dibiayai oleh DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor serta merupakan sebuah projek yang tidak akan melibatkan keuntungan. Proses pemilihan juga akan disaring dengan ketat oleh Setiausaha Negeri dan ahli-ahli lembaga Yayasan Sultan Ibrahim serta disahkan melalui sistem komputer daripada UPEN. Yayasan juga bertanggungjawab melantik pengurus projek dan kontraktor untuk mereka dan membina unit rumah mengikut spesifikasi Tuanku.

Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor Online

Bagi yang berminat untuk memohon, anda boleh melihat senarai syarat kelayakan untuk membuat permohonan seperti yang akan dinyatakan di bawah. Disertakan juga jenis projek Rumah Impian Bangsa Johor yang ada, kategori dan spesifikasi RIBJ serta kaedah untuk membuat permohonan secara atas talian.

Cara Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (Johor Bahru)

Bagi mereka yang telah mendaftar permohonan semasa sesi pra-pendaftaran RIBJ melalui Sistem E-Mohon Yayasan Sultan Ibrahim Johor daripada 22 Mac 2017 sehingga 28 Februari 2018 yang lalu sahaja, anda perlu mengemaskini maklumat di Sistem Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) seperti pautan di bawah:

PERMOHONAN RUMAH IMPIAN BANGSA JOHOR ONLINE

Permohonan akan melalui beberapa tapisan saringan sebelum layak untuk ditawarkan RIBJ. Antara peringkat saringan adalah seperti berikut:

  1. Tapisan Pertama : Tapisan melalui Sistem Rumah Impian Bangsa Johor RIBJ
  2. Tapisan Kedua : Tapisan melalui Lembaga Pemilih Yayasan Sultan Ibrahim Johor
  3. Tapisan Ketiga : Tapisan melalui Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor

Tarikh Kemaskini Maklumat Permohonan RIBJ (Johor Bahru)

BUKA : 31 Oktober 2018

TUTUP : 7 November 2018

Maklumat terkini hendaklah dikemaskini oleh pemohon di dalam tempoh yang ditetapkan sahaja untuk pihak berkenaan melakukan proses saringan peringkat akhir

Kriteria Umum Kelayakan Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor

  1. Berkewarganegaraan Malaysia serta berumur 25 tahun ke atas
  2. Hanya satu permohonan oleh salah seorang sama ada isteri atau suami yang dibenarkan bagi setiap pasangan yang telah berkahwin.
  3. Pemohon akan diberi keutamaan sekiranya belum pernah memiliki rumah

Kriteria Khas Mengikut Jenis Rumah Impian Bangsa Johor

 JenisHarga RumahJumlah Pendapatan
 Rumah Impian Bangsa Johor (A)RM100,000 dan ke bawahSeisi rumah tidak melebihi RM 5,000 sebulan
Rumah Impian Bangsa Johor (B) Di antara RM100,001 dan RM150,000Seisi rumah tidak melebihi RM 8,000 sebulan
Rumah Impian Bangsa Johor (C)RM150, 000 dan ke atasTerbuka dan tertakluk kepada kriteria institusi kewangan

Jenis Projek Rumah Impian Bangsa Johor

Seperti yang diumumkan, terdapat dua buah projek bagi program Rumah Impian Bangsa Johor iaitu:

1) Rumah Impian Bangsa Johor (Johor Bahru) 

Projek Rumah Impian Bangsa Johor (Johor Bahru) merupakan projek pertama di bawah seliaan YSIJ yang diumumkan pada tahun 2017

Pada awal pelancaran terdapat tiga lokasi dikenalpasti bagi pelaksanaan projek RIBJ (Johor Bahru) iaitu di Bandar Dato’ Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana.

Walau bagaimanapun, sehingga 31 Oktober 2018 hanya projek di Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee sedang dibangunkan manakala di Bukit Saujana sedang dalam proses semakan semula sehingga diberitahu kelak.

Spesifikasi Rumah Impian Bangsa Johor (Johor Bahru)

A) Bandar Baru Majidee (BBM)

KategoriSaizKeluasan BinaanJumlah Unit
 Pangsapuri1,000 kp320

Harga akan dijual bermula RM150,000 ke bawah bagi seunit

Projek Bandar Baru Majidee (BBM) telah dilaksanakan semenjak tahun 2017 dan kini telah siap hampir 81 peratus pada November 2018 dan dianggarkan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2019.

B) Bandar Dato’ Onn (BDO)

 Kategori SaizKeluasan BinaanJumlah Unit
 Rumah Sesebuah (2 Tingkat)39′ x 59′1,262 kp29
Rumah Kluster 2 Unit (2 Tingkat)39′ x 49′1,262 kp156
Rumah Kluster (2 Tingkat)37′ x 49′1,181 kp100
 Rumah Teres (2 Tingkat)19′ x 57′1,223 kp203

Harga akan dijual dalam lingkungan RM80,000 hingga RM100,000 bagi seunit

Projek Bandar Dato’ Onn (BDO) baru sahaja mula dibina mulai Julai 2018 melibatkan sebanyak 488 buah unit RIBJ secara keseluruhan dan dianggarkan siap sepenuhnya pada tahun 2020.

2) Rumah Impian Bangsa Johor (Mersing)

Projek Rumah Impian Bangsa Johor (Mersing) adalah projek kedua di bawah seliaan YSIJ yang diumumkan baru-baru ini pada Oktober 2018

Cadangan awal pelaksanaan projek ini melibatkan pembinaan sebanyak 1000 unit pelbagai jenis kediaman yang akan dibina di Kampung Sri Pantai, Mersing

Tunku Mahkota Johor telah mengumumkan syarat kelayakan permohonan RIBJ (Mersing) melalui akaun Facebook rasminya seperti di bawah:

Facebook Rasmi Tunku Mahkota Johor (TMJ)

Syarat Kelayakan Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (Mersing)

  1. Pemohon adalah rakyat negeri Johor
  2. Mempunyai pendapatan RM5,000 ke bawah (seisi rumah)
  3. Pemohon mestilah bukan anak tunggal atau anak sulung
  4. Pemohon tidak pernah memiliki mana-mana hartanah sebelum ini
  5. DYMM Sultan Johor ingin pengagihan dilakukan secara adil kepada seluruh kaum Melayu, Cina dan India bertujuan untuk membina semangat kemasyarakatan

Kategori Rumah Impian Bangsa Johor (Mersing)

Rumah Teres 1 Tingkat
Rumah Teres 2 Tingkat
3 Bilik Tidur 2 Bilik Air
3 Bilik Tidur 2 Bilik Air
Harga bermula daripada RM70,000 seunit
Harga di bawah / tidak lebih daripada RM200.000 seunit

Cara Membuat Permohonan Rumah Impian Bangsa Johor (Mersing)

  • Permohonan bagi RIBJ (Mersing) boleh dilakukan secara atas talian dengan melayari portal rasmi Yayasan Sultan Ibrahim sebaik sahaja tarikh permohonan dibuka
  • Tarikh rasmi permohonan secara atas talian akan dikemaskini setelah diumumkan oleh pihak Yayasan Sultan Ibrahim Johor

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan Rumah Impian Bangsa Johor, sila layari pautan yang disediakan di bawah berkenaan (FAQ) soalan lazim RIBJ dan sebarang pertanyaan juga boleh ditujukan terus kepada butiran seperti tertera di bawah: