MySPR Daftar Borang Pendaftaran Pemilih Dan Tukar Alamat Online

Bagi rakyat Malaysia yang belum membuat pendaftaran sebagai pengundi untuk pilihan raya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada membuat inisiatif baru yang diberi nama MySPR Daftar bagi memudahkan warga Malaysia untuk membuat pendaftaran pengundi / pemilih secara online. Selain itu, dengan MySPR Daftar, pengundi yang sudah mendaftar juga boleh membuat pertukaran alamat mengundi dengan mudah.

Baru-baru ini, umum mengetahui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah dipinda oleh Kerajaan yang mengehadkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Rang Undang-Undang ini telah diluluskan dan dijangka akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. Oleh demikian, jumlah pengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang dijangka mencapai lebih 22 juta orang, berbanding 14.9 juta pengundi PRU14 pada tahun lepas.

Sebelum ini semua pengundi perlu hadir ke pusat-pusat pendaftaran bagi membuat pendaftaran dengan mengisi borang yang disediakan. Seterusnya pengundi perlu menunggu sehingga beberapa bulan sehingga berjaya menjadi pengundi yang sah. Proses ini memakan masa dan juga dianggap sulit bagi sesetengah individu justeru menyukarkan mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.

Namun begitu, kini dengan adanya MySPR Daftar, pengguna boleh mengisi borang pendaftaran pemilih dan memohon pertukaran alamat tempat mengundi secara online di mana-mana sahaja. Pengguna perlu membuat akaun terlebih dahulu sebelum login ke sistem MySPR Daftar. Setelah itu pengguna hanya perlu ikuti langkah mudah yang turut disertakan di bawah untuk layak menjadi pengundi yang sah.

Cara Membuat Pendaftaran Pemilih/Pengundi Secara Online Melalui Portal MySPR Daftar

Berikut dikongsikan panduan membuat pendaftaran pemilih melalui MySPR Daftar secara online buat rujukan semua:

Syarat Kelayakan Pendaftaran Pengundi

Sebelum mendaftar sebagai pemilih, berikut adalah syarat kelayakan pendaftaran pemilih yang mesti dipatuhi:

  • Merupakan Warganegara Malaysia;
  • Berusia sekurang-kurangnya 18 tahun (setelah kuat kuasa secara rasmi diumumkan)
  • Bermastautin atau tinggal di kawasan pilihan raya yang ingin didaftarkan; dan
  • Tidak hilang/dihalang kelayakan oleh undang-undang yang berkuatkuasa

Maklumat Tambahan Semasa Pendaftaran MYSPR Daftar

Bagi memastikan pembukaan akaun MySPR Daftar dapat dilakukan dengan lancar, sila sertakan dokumen penting yang diperlukan untuk mendaftar seperti berikut:

  • Nombor telefon bimbit yang sah;
  • E-mel yang sah;
  • Gambar muka depan Kad Pengenalan / Mykad; dan
  • Gambar swafoto bersama Kad Pengenalan

Format gambar yang dibenarkan adalah jpg, jpeg dan png. Saiz gambar mesti tidak melebihi 500kb.

Panduan Pendaftaran Akaun Baru MYSPR Daftar

1) Pendaftaran Akaun Baru MYSPR Daftar

Daftar MySPRDaftar Online

  1. Untuk membuat pendaftaran akaun baru, sila layari pautan yang disediakan di atas
  2. Klik Butang MYSPR DAFTAR yang berada di sebelah bahagian kiri menu utama SPR

3. Skrin Log Masuk MySPR Daftar akan ditunjukkan. Klik pada butang “Permohonan Akaun Baru”

4. Skrin Permohonan Akaun Pengguna akan dipaparkan

5. Sila isi semua maklumat yang diperlukan termasuk muatnaik gambar kad pengenalan dan gambar swafoto bersama kad pengenalan

6. Sila masukkan Captcha dan tandakan kotak pengakuan “Saya telah membaca syarat-syarat kelayakan”.

7. Klik butang “HANTAR”

8. Pengguna akan mendapati satu dialog notifikasi dipaparkan dan sila klik butang “PASTI”

9. Verifikasi akan dilakukan oleh sistem, dan pengguna akan menerima satu paparan mesej seperti berikut:

10. Klik pada butang “KEMBALI” dan skrin Log Masuk MySPR Daftar akan dipaparkan semula

2) Pengesahan Pendaftaran MYSPR Daftar

Setelah selesai pendaftaran, proses pengesahan pendaftaran MySPR Daftar adalah seperti di bawah:

  1. Satu emel yang mengandungi notifikasi tentang Permohonan Akaun Pengguna akan diterima oleh pemohon melalui e-mel yang didaftarkan. Jika tiada sebarang e-mel yang dihantar ke dalam inbox, semak di dalam peti spam.
  2. Proses pengesahan akan dilakukan Pegawai SPR. Satu emel pengaktifan akan dihantar ke e-mel yang telah didaftar mengikut waktu yang telah ditetapkan.
  3. Permohonan akan diproses pada hari yang sama jika dihantar pada jam 8 pagi hingga 12 tengahari hari bekerja.
  4. Permohonan akan diproses pada hari bekerja berikutnya jika dihantar selepas jam 12 tengahari hari bekerja atau pada hari Sabtu, Ahad atau pada Hari Kelepasan Am.

3) Pengaktifan Akaun MYSPR Daftar

1. Setelah selesainya pengesahan yang dibuat pegawai SPR, satu e-mel pengaktifan akan diterima di e-mel yang telah didaftarkan. Contohnya adalah seperti berikut:

2. Klik pada pautan pengaktifan yang disediakan dalam e-mel tersebut. Skrin Pengaktifan Akaun akan dipaparkan.

3. Sila isikan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang didaftarkan sebelum ini.

4. Klik pada butang “Mohon TAC”. Jika nombor kad pengenalan dan kata laluan yang diisikan adalah tepat, pemohon akan menerima SMS yang mengandungi nombor TAC.

5. Sila masukkan nombor TAC yang diterima dan klik pada “Hantar”.

6. Setelah itu, verifikasi akan dilakukan oleh sistem dan pemohon akan dibawa ke paparan skrin Log Masuk MySPR Daftar.

4) Log Masuk Akaun MYSPR Daftar

1. Sila layari pautan di bawah. Isikan nombor kad pengenalan, kata laluan dan Kod Captcha.

Login  MySPR Daftar

2. Seterusnya, klik pada butang “Log Masuk”. Pemohon akan dibawa ke paparan skrin Dashboard Pengguna.

5) Permohonan Pendaftaran Baru / Pertukaran Alamat Pengundi

  1. Untuk membuat permohonan pendaftaran baru sebagai pemilih atau menukar alamat, di Dashboard Pengguna, klik pada menu pilihan  “Status Saya”.
  2. Tekan pada butang BORANG A (PENDAFTARAN BARU/PERTUKARAN ALAMAT)
  3. Pemohon dikehendaki untuk mengisi semua maklumat yang diperlukan, dan seterusnya klik butang “HANTAR” yang berada di bawah sebelah kanan paparan skrin.
  4. Pemohonan akan dipaparkan dengan satu kotak dialog notifikasi. Isikan nombor kad pengenalan dan kata laluan lalu klik MOHON TAC.
  5. Masukkan nombor TAC yang diterima secara SMS di telefon bimbit dan klik pada butang HANTAR.
  6. Paparan skrin “Status Saya” akan ditunjukkan. Klik pada “HANTAR/CETAK BORANG A” untuk mencetak borang.
  7. Pemohon boleh muat turun atau cetak borang yang terdapat di situ.

Maklumat Lanjut

Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan Cara Mendaftar MySPR Daftar, maklumat lanjut seperti Manual Pengguna untuk MySPR Daftar atau jawapan kepada soalan-soalan lazim boleh dirujuk melalui pautan yang dikongsikan di bawah atau boleh hubungi terus pihak SPR melalui talian yang disediakan serta layari laman web rasmi SPR seperti berikut:

Menara SPR,
No.2, Jalan P2T, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62100 Putrajaya.