Panduan Pencegahan Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut HFMD

Penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) merupakan satu penyakit berjangkit yang berpunca daripada virus yang dinamakan Coxsackie dan virus enterovirus. Pesakit biasanya daripada kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah mengadu terdapat ulser yang banyak dalam mulut serta ruam di tangan dan kaki. Mengikut laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlaku peningkatan laporan penyakit HFMD di Malaysia belakangan ini. Berlaku peningkatan sebanyak 28% setakat 30 Jun 2018 dan 12 buah negeri telah melepasi paras amaran tidak termasuk Johor, Sabah dan Sarawak.

Penyakit ini merebak melalui air liur, sentuhan cecair lepuh dan najis dari mereka yang berpenyakit. Pada kebiasaannya, jangkitan ini adalah ringan (mild) di mana pesakit akan mengalami demam dan diikuti dengan ruam pada kaki, tangan, mulut dan lidah. Hampir semua pesakit akan sembuh sendiri apabila masuk hari ketujuh hingga hari kesepuluh mengalami simptom HFMD. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. Sehingga kini masih lagi tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini.

Namun langkah-langkah mencegah boleh diambil. Ibubapa perlu memainkan peranan penting untuk mengetahui penyakit ini agar dapat dicegah dari awal. Pusat-pusat asuhan kanak-kanak perlu cakna akan masalah ini dengan menjaga kebersihan premis merreka. Kerajaan pula melalui KKM memainkan peranan dengan memberi info tentang penyakit HFMD ini.

Cegah Penyakit Kaki, Tangan Dan Mulut

Antara cara untuk menangani masalah ini, kita perlu mencegah dari awal gejala penyakit ini. Oleh itu, dikongsikan kepada semua tanda-tanda penyakit HFMD dan langkah-langkah mencegah. Berikut adalah info berkaitan, semoga dapat membantu semua terutama ibubapa:

Tanda-Tanda Awal Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD)

Berikut merupakan tanda-tanda penyakit HFMD. Ibubapa dinasihatkan untuk merujuk dengan doktor berkaitan penyakit ini secepat mungkin:

  1. Sakit kepala hingga hilang selera makan.
  2. Ulser di tekak dan mulut.
  3. Sakit Demam
  4. Ruam di tapak tangan, kaki, lutut dan kawasan lampin.
  5. Sakit perut
  6. Batuk

Langkah Pencegahan

Berikut merupakan langkah-langkah pencegahan untuk penyakit HFMD

  1. Tidak membawa anak ke tempat awam seperti sekolah, taska, tadika, pusat asuhan kerana boleh merebakkan penyakit HFMD
  2. Mengamalkan kebersihan dengan membasuh tangan dengan menggunakan sabun dan air bersih selepas keluar daripada tandas.
  3. Memastikan pembuangan lampin pakai buang dibuat dengan betul

Rawatan

Disebabkan penyakit ini tiada ubat untuk merawatnya, berikut dikongsikan rawatan sokongan untuk pesakit bertujuan untuk memastikan pesakit selesa sehingga penyakit yang dihidapi pulih dengan sendiri:

  1. Perlu banyak minum air. Hal ini kerana kanak-kanak yang menghidapi sakit ini akan kurang minum air. Ini akan menyebabkan dehidrasi kepada pesakit. Oleh itu, ibubapa perlu menggalakkan anak mengambil air yang secukupnya
  2. Berikan aiskrim. Ini kerana aiskrim boleh melegakan sakit pada ulcer
  3. Penggunaan ubat paracetamol boleh mengurangkan demam dan sakit ulcer

Pertanyaan

Jika pesakit mengalami simptom yang lebih teruk, sila bawa ke klinik atau hospital berhampiran. Untuk maklumat atau pertanyaan sila layari pautan berikut: