Contoh jawapan kerja kursus Geografi PT3 2018 Kajian Guna Tanah

Berdasarkan pengumuman oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, calon PT3 tahun ini telah ditugaskan untuk menajalani tugasan Ujian Pelbagai Instrumen Geografi dengan membuat tugasan kerja khusus untuk mata pelajaran Geografi mengikut tajuk kajian yang telah ditetapkan. Tempoh kajian adalah selama 3 minggu.

Tugasan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perancangan dengan markah penuh 10 markah, proses awal 20 markah dan proses akhir yang memberi markah terbanyak iaitu 70 markah. Oleh yang demikian, calon adalah disarankan untuk mendapatkan bimbingan guru untuk memastikan jawapan yang diberikan adalah tepat dan tidak lari dari skop soalan.

Berbanding tugasan tahun lepas yang memberi tumpuan kepada kajian peta, tugasan memerlukan calon untuk melakukan analisa dan kajian ke atas guna tanah di kawasan tempat tinggal calon. Bagi membantu calon medapatkan informasi yang tepat dan berkualiti, penulis GCarian akan membantu untuk memberikan panduan dan tips untuk melaksanakan tugasan penting.

Adalah dinasihatkan buat para calon agar menjadikan panduan ini hanya sebagai sumber rujukan sekunder dalam proses menyiapkan tugasan ini supaya hasil kajian anda dikira asli dan tidak diplagiat dari mana-mana sumber.

Tips, Contoh Dan Panduan Jawapan Kerja Kursus PT3 Geografi 2018 Kajian Guna Tanah

Melalui artikel ini, calon-calon boleh mendapatkan tips dan panduan cara mendapatkan bahan maklumat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Penulis GCarian akan memberikan tips yang terbaik berpandukan tajuk tugasan kajian yang telah diberikan kepada calon-calon.

Tugasan Geografi PT3 2018

Calon dikehendaki menjalankan kajian tentang guna tanah di kawasan tempat tinggal atau sekolah anda. Guna tanah merujuk kepada semua aktiviti manusia yang mengubah dan menyesuaikan permukaan tanah untuk memenuhi keperluan manusia

Kajian guna tanah hendaklah mengandungi perkara berikut :

  1. Latar belakang kawasan kajian
  2. Melukis peta lakar yang menunjukkan taburan guna tanah di kawasan kajian
  3. Mentafsir peta lakar yang menunjukkan taburan guna tanah di kawasan kajian
  4. Mengenalpasti satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian dan menghuraikan faktor yang mempengaruhi guna tanah tersebut
  5. Mengenal pasti dan menghuraikan kesan guna tanah tersebut terhadap alam sekitar yang telah dikaji di 3.4
  6. Cadangan usaha-usaha untuk mengatasi kesan guna tanah tersebutMembentangkan laporan hasil kajian tersebut

Tips Dan Panduan

Permulaan

Calon perlu menyediakan perancangan yang teliti bagi memastikan supaya tugasan tidak lari dari skop soalan. Perancangan termasuklah:

i. Jadual Kerja

ii. Objektif kajian

iii. Pemilihan Kaedah Kajian

Perancangan dan Pengumpulan Maklumat

Bagi peringkat awal, calon hendaklah mencari dan mengumpul maklumat dari sumber rujukan primer, sekunder ataupun pihak ketiga (seperti temuramah atau soal selidik).

Maklumat yang perlu dikumpul hendaklah mengandungi aspek-aspek berikut

a) Potensi

b) Halangan

c) Cadangan

d) Draf Peta Lakar

e) Temubual, Pemerhatian, rujukan

Penentuan Kawasan Kajian

Syarat kawasan kajian yang dipilih hendaklah berdekatan dengan tempat tinggal ataupun sekolah. Calon dinasihatkan agar memilih kawasan yang mereka mahir dan fahami untuk memudahkan calon mentafsir dan melukis peta lakar

Tajuk Kajian |  Nama Penulis

Tajuk kajian hendaklah mengikuti kehendak dan skop kerja kursus. Nama kawasan kajian hendaklah dinyatakan di dalam tajuk bagi memastikan ketepatan jawapan.

TAJUK KAJIAN

Nama : _______________

Tingkatan : _______________

No. Kad Pengenalan :____________

Angka Giliran :_______________

Sebagai contoh sahaja.

SENARAI KANDUNGAN
BilPerkaraMuka Surat
1Tajuk Kajian1
2Senarai kandungan2
3Penghargaan3
4Pendahuluan4
5Objektif kajian5
6Kawasan kajian6
7Kaedah kajian7
 8Dapatan kajian
i) Latar belakang kawasan kajian
ii) Melukis peta lakar yang menunjukkan taburan guna tanah di kawasan kajian
iii) Mentafsir peta lakar yang menunjukkan taburan guna tanah di kawasan kajian
iv) Mengenalpasti satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian dan menghuraikan faktor yang mempengaruhi guna tanah
v) Mengenal pasti dan menghuraikan kesan guna tanah tersebut terhadap alam sekitar yang telah dikaji
vi) Cadangan usaha-usaha untuk mengatasi kesan guna tanah tersebut
 8
9Rumusan9
10Lampiran10
11Rujukan11
PENDAHULUAN

Bagi tahun 2018, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan arahan kepada semua para pelajar tingkatan 3 yang juga calon PT3 untuk menjalankan kerja kursus ini. Tajuk kajian kerja kursus saya adalah Kajian Guna Tanah Di Kawasan Tempat Tinggal/Sekolah dan saya Muhammad Huzaifah bin Ahmad pelajar tingkatan 3 dari SMK Dato’ Syed Esa telah melakukan kajian di kawasan Klang.

Antara sebab utama saya memilih kawasan Klang sebagai kawasan kajian saya adalah kerana ia merupakan tempat tinggal saya. Ia juga terletak berhampiran dengan sekolah yang mana menyebabkan urusan saya untuk membuat kajian ini lebih mudah. Selain itu, saya juga mahir dengan selok-belok kawasan ini, lantas memberikan saya peluang untuk mendapatkan maklumat yang dimahukan dengan lebih efisyen.

Saya telah menggunakan tempoh masa yang dibekalkan dengan sebaiknya. Selain daripada merujuk sumber seperti bahan bacaan dan internet, dalam proses menyiapkan kerja kursus ini, saya telah menemu ramah beberapa orang responden dan sukarelawan bagi memperoleh maklumat yang tepat.

Sebagai contoh sahaja.

PENGHARGAAN

Saya, Muhammad Huzaifah bin Ahmad, ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan, pertama sekali kepada Tuan Pengetua, Tuan Haji Fauzan Bin Sukimi kerana telah memberi kebenaran untuk saya menjalankan kajian ini. Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada guru Geografi saya, Encik Anwar Bin Daud, yang telah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar yang mencukupi sehingga kajian ini dapat diselesaikan dengan jayanya.

Setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan juga kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah menyediakan dan menaja segala bentuk keperluan sepanjang kajian ini dilakukan. Dorongan dan semangat yang mereka berikan memotivasikan diri saya untuk melaksanakan tugasan ini sehabis baik.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada responden merangkap rakan sekelas saya yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam menyelesaikan tugasan ini bersama-sama. Hasil sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak yang terlibat, kajian ini dapat dilakukan dengan jayanya.

Sebagai contoh sahaja.

OBJEKTIF KAJIAN
Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk mengkaji guna di kawasan tempat tinggal saya melalui aspek dan perkara-perkara seperti berikut:
(a) Mendapatkan maklumat terperinci dan fakta sebenar tentang latar belakang kawasan kajian.
(b) Melukis dan mentafsirkan peta lakar yang menunjukkan taburan guna tanah di kawasan kajian.
(c) Mengenalpasti satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian dan menghuraikan faktor yang mempengaruhi guna tanah berkenaan.
(d) Mengenal pasti dan menghuraikan kesan guna tanah tersebut terhadap alam sekitar di kawasan kajian.
(e) Memberi cadangan dan pendapat terhadap usaha-usaha untuk mengatasi kesan guna tanah tersebut
Sebagai contoh sahaja.
KAEDAH KAJIAN
Kaedah Kajian adalah suatu usaha yang dilakukan samada secara individu ataupun secara berkumpulan bagi menyelesaikan sesuatu bentuk laporan tugasan kajian.
Jumlah Kaedah Kajian yang perlu dinyatakan adalah bergantung kepada apakah kaedah kajian yang telah digunakan / dijalankan bagi menyiapkan sepenuhnya laporan tugasan / kajian yang dibuat oleh calon.
Contoh kaedah kajian seperti di bawah:

Saya telah menggunakan pelbagai kaedah kajian untuk mendapatkan maklumat serta data secara terperinci dan bersistematik. Antaranya seperti berikut:

1 . Permerhatian
Memerhatikan ciri-ciri fizikal di kawasan kajian seperti bentuk muka bumi, tumbuh-tumbuhan semula jadi dan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar. Saya juga membuat pemerhatian terhadap ciri-ciri budaya di kawasan kajian seperti petempatan, pengangkutan dan perhubungan, kegiatan ekonomi, sumber dan kemudahan.

2. Analisis Dokumen
Saya mengunjungi perpustakaan bagi menjalankan penyelidikan terhadap sumber-sumber arkib yang terdapat di perpustakaan. Sumber-sumber arkib itu adalah koleksi buku ilmiah, petikan akhbar, majalah dan sebagainya untuk menguatkan lagi fakta dalam kajian saya.

3. Internet
Internet adalah satu gerbang limpahan pelbagai sumber bagi mendapatkan maklumat. Melalui laman sesawang berautoriti yang telah dilayari iaitu Portal Rasmi( ) saya turut dapat memuat-turun bahan berkaitan kajian / tugasan ini untuk dijadikan rujukan tambahan.

4. Temubual
Kaedah yang saya jalankan dalam menyiapkan kerja kursus ini antaranya ialah dengan menggunakan kaedah lisan iaitu melalui temubual dengan orang sumber saya yang tinggal di kawasan tempat tinggal saya. Beliau banyak memberi maklumat tentang kawasan tersebut.

5. Bimbingan Guru
Tanpa bimbingan guru, sudah tentu saya tidak akan berjaya melaksanakan tugasan kajian yang telah diberikan. Justeru, saya mendapat bimbingan dari guru iaitu Tuan / Puan

Sebagai contoh sahaja.

DAPATAN KAJIAN
LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN
Latar belakang adalah dasar atau asas kepada sesuatu perkara. Latar belakang yang baik harus disusun dengan sejelas mungkin dan bila perlu disertai dengan data atau fakta yang mendukung.
Justeru, calon-calon perlu menjelaskan perkara asas tentang latar belakang tempat kajian sebagai Pengenalan laporan bagi memberikan gambaran keseluruhan kandungan kajian tersebut.
Jelaskan latar belakang tempat kajian (lokasi) berdasarkan keadaan / situasi terkini (tinjauan)
Menemubual orang sumber (pengerusi / ketua kampung / orang lama ) bagi mendapatkan maklumat yang tepat
Latar belakang bagi kawasan kajian hendaklah mengandungi dua ciri utama iaitu ciri budaya dan ciri fizikal
Ciri Fizikal
Ciri yang terjadi secara semulajadi dan bukan buatan manusia seperti keadaan muka bumi, sumber air dan tumbuhan
Ciri Budaya
Ciri yang terjadi hasil buatan manusia seperti pertanian, perlombongan, perindustrian, petempatan, pengangkutan dan perdagangan
Berikut merupakan contoh penulisan Latar Belakang Kawasan Kajian

Kawasan kajian saya untuk kerja kursus ini adalah merupakan kawasan Klang. Seperti yang sedia maklum dahulunya telah dikenali sebagai kawasan Kelang. Kawasan ini merupakan bandar Diraja, iaitu merupakan bandar terbesar serta salah satu pecahan kawasan pentadbiran bagi negeri Selangor.

Sebelum wujudnya negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bandaraya Shah Alam, bandar atau kawasan Klang dahulunya pernah menjadi ibu negeri Selangor. Ianya terletak lebih kurang hampir 32 km dari barat Kuala Lumpur dan merupakan salah satu bandar yang ketiga terbesar di Selangor. Kawasan Klang juga bersempadan dengan kawasan Petaling di sebelah timur, kawasan Kuala Selangor di sebelah utara. Manakala, kawasan Kuala Langat di sebelah selatannya. Pesisir pantai atau laut di sebelah baratnya pula merupakan kawasan Selat Melaka.

Mengikut perkembangang serta keadaan Klang yang semakin membangun, beberapa penggunaan tanah di kawasan ini dapat dikaji secara terperinci. Khususnya, penggunaan tanah di kawasan ini lebih kepada tujuan untuk kegiatan perindustrian, pendidikan, perumahan dan beberapa tempat untuk pertanian dan pentadbiran. Keadaan muka bumi di daerah Klang ini secara amnya adalah landai dan tanahnya pula merupakan tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak komersial dan industri.

Kawasan Klang juga adalah merupakan kawasan tumpuan bagi sektor perindustrian. Maklumat daripada sumber Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), rata-rata penduduk di Klang ini lebih terarah bekerja di sektor pembuatan dan perdagangan. Mengikut peratusan paling tinggi pekerjaan penduduk di mana ia menyumbang serba sedikit pendapatan mereka adalah daripada sektor pembuatan secara utamanya diikuti perdagangan serta borong dan runcit. Ini menjadikan sektor pembuatan merupakan pekerjaan utama penduduk Klang di Selangor. Terdapat juga aktiviti perdagangan, peruncitan dan pemborongan di sekitar kawasan Klang di mana ia merupakan sumber pendapatan kedua tertinggi penduduk. Beberapa pembinaan pasar raya yang telah banyak dibina menunjukkan sektor ini semakin aktif adalah seperti AEON Bukit Tinggi, Klang serta banyak lagi yang dijangka akan dibuka akan datang.

Kawasan Klang ini terletak berhampiran dengan berdekatan di arah Barat dari Bandar Shah Alam, Selangor. Melihat dari segi fizikal kawasan Klang ini, ianya terletak daripada kawasan tanah yang landai serta rata. Mengikut topologi serta landskap kawasan ini pula, ianya amat sesuai untuk pembinaan jalan bagi penempatan komersial dan perindustrian. Tempat ini terletak di kawasan yang begitu pesat dengan pembangunan.

Kenderaan bermotor seperti kereta dan motosikal merupakan pengangkutan utama di kawasan Klang. Oleh disebabkan itu, kerajaan negeri Selangor telahpun membina jalanraya yang dapat menghubungkan bandar dan luar bandar. Laluan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) yang berfungsi sebagai lebuh raya utama antara bandar yang dapat menghubungkan kawasan perindustrian dan perumahan utama di kawasan Lembah Klang iaitu Cheras, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Klang itu sendiri, pengakhir jalan keluar serta masuk ke Westport. Selain daripada kenderaan bermotor yang menggunakan jalanraya, terdapat juga kemudahan kereta api dan komuter bagi menghubungkan Klang dan Kuala Lumpur. Komuter Malaysia juga adalah yang pertama sekali tiba di Klang.

Untuk kemudahan serta infrastruktur pendidikan pula, terdapat beberapa sekolah yang telah dibina berdekatan dengan tempat perumahan dan pentadbiran di kawasan Klang. Antara sekolah-sekolah yang telah lama dibina di kawasan ini adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah. Terdapat jumlah yang tinggi bagi sekolah menengah cina persendirian dan ianya terdapat sebanyak 4 buah sekolah. Terdapat juga sekolah sekolah menengah agama, sekolah berasrama penuh, sekolah menengah teknik dan sekolah vokasional. Demografi kawasan Klang menunjukkan kepelbagaian sekolah yang menunjukkan pelbagai jenis agama serta bangsa yang terdapat di kawasan ini.

Kemajuan dan kepesatan pembangunan serta ekonomi bagi daerah Klang telah meningkatkan potensinya untuk aktiviti perniagaan untuk di dalam kawasan dan perdagangan bagi menjalankan urusan import/export. Penambahan populasi penduduknya pula telah menambahkan serta meningkatkan kemudahan bagi masyarakat.

Sebagai contoh sahaja.

 &   MELUKIS DAN MENTAFSIR PETA LAKAR YANG MENUNJUKKAN TABURAN GUNA TANAH DI KAWASAN KAJIAN
 MENGENALPASTI JENIS GUNA TANAH  DI KAWASAN KAJIAN DAN HURAIKAN FAKTOR YANG MEMPENGARUHINYA

PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN

Antara jenis guna tanah di Klang adalah perdagangan. Antara faktor yang menjadi penentu guna tanah di kawasan ini ialah bentuk muka bumi dan lokai. Kedudukan Klang yang berdekatan dengan Selat Melaka menjadikannya kawasan yang strategik sebagai sebuah hab perdangangan antarabangsa. Pelabuhan Klang  menjadi kawasan perdagangan bagi menjalankan urusan logistik bagi kapal-kapal yang melalui dan berlabuh di Selat Melaka. Selain itu, lokasinya yang berdekatan dengan dua negeri yang berpenduduk paling padat di Malaysia menjadikannya sebagai sebuah hab  import/eksport bagi Malaysia. Kedudukannya yang berada di tengah-tengah antara utara dan selatan Malaysia menjadikannya sebuah lokasi yang sesuai sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa. Hal ini dapat memudahkan urusan logistik tempatan bagi produk-produk yang diimport dan diesksport.

Antara jenis guna tanah yang didapati di Klang adalah perindustrian. Faktor yang menyumbang kepada guna tanah ini adalah fizikal yang baik dan kedudukan yang strategik. Kawasan Klang ini terletak berhampiran dengan kawasan Barat Bandar Shah Alam, Selangor. Melihat dari segi fizikal kawasan Klang, ia terdiri daripada kawasan tanah yang landai serta rata. Mengikut topologi serta landskap kawasan ini pula, ia amat sesuai untuk pembinaan jalan bagi penempatan komersial dan perindustrian. Tempat ini terletak di kawasan yang begitu pesat dengan pembangunan. Disebabkan itu, ia amat sesuai untuk menjadi tempat bagi perkembangan aktiviti perindustrian. Penambahan populasi penduduknya pula telah menambahkan serta meningkatkan kemudahan bagi masyarakat. Kawasan Klang yang berpenduduk padat membekalkan tenaga buruh yang murah dan mudah didapati. Rata-rata penduduk di Klang ini lebih terarah bekerja di sektor perindustrian dan perdagangan. Didapati peratusan paling tinggi pekerjaan penduduk adalah daripada sektor perindustrian secara utamanya diikuti perdagangan serta borong dan runcit.

Sebagai contoh sahaja.

MENGENALPASTI SATU KESAN GUNA TANAH DI KAWASAN KAJIAN KE ATAS ALAM SEKITAR

Antara kesan utama guna tanah bagi tujuan perdagangan dan perindustrian ialah pencemaran. Aktiviti-aktiviti di Pelabuhan Klang akan menyumbang kepada pencemaran air terutamanya di Selat Melaka jika tidak dikawal dengan efisyen. Tumpahan minyak dan sisa-sisa pepejal dari kapal akan menjejaskan ekosistem laut sekaligus merosakkan lanskap di kawasan pesisiran pantai berdekatan. Hasil daripada aktiviti perdagangan yang pesat, pasti terdapat sisa-sisa pepejal atau sampah yang akan terbuang ke dalam laut lantas menyebabkan pencemaran air. Berikutan kejadian itu, hidupan laut seperti ikan dan tumbuhan akan mati dan berkurangan.

Selain itu, pencemaran udara terjadi hasil daripada asap dan gas dari kilang yang terbebas ke udara. Kenderaan berat yang beroperasi serta keluar-masuk kawasan kilang juga menyumbang kepada masalah ini jika kenderaan yang digunakan tidak diservis secara berkala. Kesan pencemaran udara ini akan menyebabkan penurunan kualiti udara di kawasan ini sekaligus menjadikan kawasan ini sebagai kawasan yang tidak sesuai untuk kehidupan. Tumbuh-tumbuhan dan manusia akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan udara bersih sekaligus merencatkan ekosistem di kawasan ini. Di samping itu, pembuangan sisa pepejal yang tidak mengikut undang-undang juga akan menyebabkan pencemarah tanah yang akan memakan jangka masa yang lama untuk dipulihkan.

Sebagai contoh sahaja.

CADANGAN MENGATASI KESAN GUNA TANAH DI KAWASAN KAJIAN KE ATAS ALAM SEKITAR

Banyak usaha yang dapat dilakukan bagi mengatasi kesan guna tanah perdagangan dan perindustrian kepada alam sekitar. Antara langkah yang dapat diambil bagi mengurangkan masalah pencemaran akibat perdagangan adalah dengan penguatkuasaan undang-undang. Melalui penguatkuasaan undang-undang, banyak sumber pencemaran dapat dikurangkan. Kerajaan dapat memastikan operasi di pelabuhan dan kilang-kilang yang dibina hendaklah beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan iaitu dengan memastikan aspek kesihatan hidupan di kawasan sekitar tidak terjejas. Denda dan kompaun harus dikenakan sebagai kesan melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Selain itu, kawalan secara teknikal juga hendaklah dilakukan. Ia dapat dilakukan dengan menggunakan teknologi mesra alam yang semakin membangun pada masa kini bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sebagai contoh, kilang-kilang dapat menggunakan penapis asap atau teknologi yang seumpama dengannya agar dapat mengurangkan kesan pencemaran dan penghasilan haba yang tinggi.

Sebagai contoh sahaja.

RUMUSAN

Sepanjang menjalankan kajian guna tanah di kawasan Klang ini apa yang dapat saya simpulkan adalah kepelbagaian guna tanah dalam negara kita Malaysia yang telah mendatangkan pelbagai kesan yang baik dan buruk. Kesan baik yang dapat dirungkaikan daripada guna tanah ini ialah secara jelasnya dapat menjana pendapatan penduduk yang menetap di Klang. Dengan terbinanya pusat membeli belah di kawasan Klang ini sekaligus dapat memberi peluang kepada penduduknya untuk mencari rezeki. Selain itu, impak daripada itu juga dapat memenuhi keperluan mereka. Dengan pembinaan kedai borong dan kedai runcit juga amat penting untuk menjalankan sebarang kehidupan seharian. Selain itu, dengan terancangnya sesuatu pembinaan penempatan juga dapat memberikan penduduk Klang itu tempat untuk mereka berteduh. Disebalik itu, ada sesuatu yang pasti serta perlu dilakukan untuk membuat perancangan terhadap sesuatu pembangunan. Ianya akan memberikan kesan yang buruk seperti yang telah dijelaskan di atas. Seharusnya, manusia itu tidaklah menjadikan dirinya seorang yang terlalu tamak untuk mengejar kemajuan tanpa memikirkan sesuatu kesan yang buruk yang akan terjadi terhadap alam sekitar.

Selain daripada itu, apa yang telah saya pelajari daripada hasil kajian ini adalah bagaimana cara-cara untuk mengumpul data dan maklumat untuk menjadikan ia sesuatu maklumat yang berguna. Saya juga belajar cara untuk merekodkan dan menemu ramah orang yang berkaitan dalam kajian saya. Bagi saya ianya adalah sesuatu pengalaman yang sangat berharga bagi saya untuk digunakan pada masa akan datang.

Saya juga dapat mengetahui dengan lebih mendalam bagi keadaan tempat tinggal saya di Malaysia secara umum dan jenis guna tanah yang ada di kawasan Klang tersebut. Tambahan pula, saya juga dapat mempelajari cara untuk menjaga alam sekitar dan menanam semangat dalam diri untuk lebih cintakan alam sekitar. Saya juga dapat mempelajari tentang faktor yang dapat menyebabkan alam sekitar itu daripada tercemar. Oleh yang demikian, saya akan mengaplikasikan konsep serta teori yang telah dipelajari untuk diguna pakai ke dalam kehidupan seharian serta masa depan saya selepas ini.

Sebagai contoh sahaja.

 

Maklumat dan contoh jawapan yang diberi oleh penulis hanyalah sebagai panduan bagi membantu calon menyiapkan tugasan ini. Calon adalah dinasihatkan untuk menghasilkan laporan kajian yang asli bersesuain dengan kawasan calon bagi mendapat markah yang cemerlang.