Syarat Kemasukan Aliran Sains Tingkatan 4 Terkini

Keputusan PT3 baru sahaja diumumkan pada Disember yang lalu. PT3 atau Pentaksiran Tingkatan 3 merupakan satu bentuk pentaksiran yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menilai kefahaman pelajar sekolah menengah rendah iaitu tingkatan 1 hingga 3. Format yang mula diguna pakai sejak 2014 itu bagi menggantikan Penilaian Menegah Rendah (PMR). Berdasarkan keputusan pt3, pelajar boleh membuat penilaian diri tentang aliran yang sesuai untuk dipilih di peringkat sekolah menengah atas iaitu Tingkatan 4 dan 5.

KPM telah menyediakan beberapa aliran buat pilihan pelajar termasuk aliran sains, aliran vokasional, aliran agama, aliran sastera dan banyak lagi. Kemasukan ke aliran ini bergantung kepada sekolah masing-masing. Hal ini kerana tidak semua aliran ditawarkan oleh sesebuah sekolah. Kewujudan pelbagai aliran ini bagi memberi ruang kepada pelajar mencorakkan masa depan mereka sendiri berdasarkan minat masing-masing. Antara aliran yang sering mendapat tempat dan banyak permintaan adalah aliran sains. Kebanyakan sekolah juga menawarkan aliran sains di sekolah masing-masing.

Aliran sains menawarkan beberapa subjek yang berkaitan seperti matematik tambahan, kimia, fizik dan biologi. Pelajar aliran sains juga wajib untuk mengambil mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam. Kemasukan ke aliran sains untuk pelajar lepasan pt3 ke tingkatan 4 perlu melepasi beberapa syarat yang telah ditetapkan.

Syarat Kemasukan Murid Ke Tingkatan 4 Aliran Sains KPM Terkini

Bagi pelajar yang berminat untuk memilih aliran sains, anda dinasihatkan untuk menyemak terlebih dahulu syarat kemasukan ke tingkatan 4 aliran sains yang tekah ditetapkan oleh KPM. Satu pekeliling tentang syarat kemasukan ke aliran sains telah dikeluarkan oleh KPM. Berikut merupakan antara isi kandungan pekeliling tersebut:

Syarat Kemasukan Ke Aliran Sains Tingkatan 4

  • Mulai tahun 2015, kemasukan murid ke Tingkatan 4 Aliran Sains akan dilaksanakan berdasarkan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah Peringkat Menengah Rendah. Berikut adalah kriteria kemasukan murid ke Tingkatan 4 Aliran Sains:
    1. Pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya gred B dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam pt3 digalakkan untuk masuk ke aliran sains tingkatan 4
    2. Pelajar yang memperoleh keputusan gabungan gred A dan C atau B dan C atau C dan C dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam pt3, kemudian memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam pentaksiran sekolah untuk mata pelajaran sains dan matematik dan berminat untuk mengikuti aliran sains berdasarkan Pentaksiran Psikometrik dibenarkan untuk mengikuti aliran sains tingkatan 4

Kes Khas

  1. Pelajar yang memperoleh keputusan gabungan gred A dan D atau B dan D atau C dan D dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam pt3, kemudian memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam pentaksiran sekolah untuk mata pelajaran sains dan matematik dan berminat untuk mengikuti aliran sains berdasarkan Pentaksiran Psikometrik dibenarkan untuk mengikuti aliran sains tingkatan 4
  2. Pelajar yang mendapat gred E dalam mana-mana mata pelajaran sains dan matematik tidak digalakkan untuk mengikuti aliran sains tingkatan 4
  3. Pihak sekolah boleh mempertimbangkan kemasukan pelajar ke aliran sains sekiranya mereka berminat dan berkemampuan untukmengikuti aliran sains tingkatan 4

Makluman Lanjut

Sebarang pertanyaan berkenaan kemasukan ke aliran sains tingkatan 4 boleh dirujuk ke sekolah masing-masing atau boleh memuat turun surat siaran daripada KPM berkaitan kemasukan ke aliran sains tingkatan 4 seperti di pautan di bawah:

Surat Siaran KPM Kriteria Kemasukan Murid Ke Aliran Sains Tingkatan 4