Permohonan Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO SIP (EIS)

Apakah itu Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)? SIP merupakan satu dana keselamatan sosial yang menyediakan bantuan kewangan dan perkhidmatan carian pekerjaan. Ia bertujuan untuk membantu golongan pekerja yang hilang pekerjaan bermula 1 Januari 2018.  Melalui program ini, bantuan kewangan segera (7 hari selepas pengesahan hilang kerja) akan diberikan iaitu sebanyak RM600 (maksimum 3 bulan).

Pekerja yang terjejas akan menerima bantuan kewangan sementara sebagai sokongan diri dan keluarga dalam tempoh mereka mencari pekerjaan baharu. Mereka juga akan diberikan bantuan kewangan tambahan sekiranya menjalani program latihan yang diakreditasi untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Selain bantuan kewangan, pekerja yang terjejas akan disokong dengan program perkhidmatan pekerjaan semula. Antaranya ialah bantuan kaunseling kerjaya, carian dan padanan pekerjaan serta latihan. Ini dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang baru dan sesuai dengan kadar segera.

Bermula 1 Disember 2018, bagi pekerja yang hilang pekerjaan dan sudah cukup mencarum minimum 11 bulan caruman, layak menuntut faedah penuh SIP (full-fledged) seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).

Syarat Kelayakan Menerima Faedah Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO (SIP)

Semua warganegara Malaysia yang mencarum dengan PERKESO layak untuk membuat permohonan dan menerima faedah ini jika mereka kehilangan pekerjaan kecuali atas beberapa sebab seperti berikut:

  • Kehilangan pekerjaan kerana salah laku
  • Peletakan jawatan secara sukarela
  • Tamat kontrak pekerjaan
  • BersaraUntuk membolehkan seseorang mendapat faedah SIP, individu tersebut dan majikannya perlu mencarum sebanyak RM 1.90 sekiranya berpendapatan RM 1,000 sebulan atau RM 7.90 bagi gaji RM 4,000 ke atas sebulan.Faedah bergantung pada syarat caruman minima selama 12 bulan atau caruman maksima selama 24 bulan bagi setiap tuntutan.

I) ELAUN MENCARI PEKERJAAN (EMP)

EMP akan dibekalkan kepada para penganggur dalam tempoh masa pencarian pekerjaan selama 3 hingga 6 bulan. Berikut dikongsikan maklumat lanjut berkaitan EMP:

  • Kadar bayaran adalah antara RM 1,700 sehingga RM 10,800 bergantung pada pendapatan bulanan dan syarat kelayakan caruman.
  • Amaun EMP bergantung kepada peratusan kadar bulanan menurun 80%, 50%, 40%, 40%, 30% dan 30% daripada gaji yang diinsuranskan (GYD).
  • Walaubagaimanapun, usaha pencarian pekerjaan secara aktif harus dibuktikan untuk menerima EMP setiap bulan.
  • Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan menjalani aktiviti pemadanan pekerjaan selain menghadiri kaunseling kerjaya yang ditawarkan oleh Perkhidmatan Penempatan Pekerjaan SIP.

II) ELAUN BEKERJA SEMULA AWAL (EBSA)

Berikut dikongsikan maklumat berkaitan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA):

  • Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) akan menggalakkan orang yang kehilangan pekerjaan untuk memperoleh pekerjaan baru dalam tempoh masa yang singkat.
  • Faedah ini adalah untuk memberi inisiatif kepada mereka yang menganggur untuk mencari kerja dengan segera, bukan menghabiskan waktu menganggur mereka untuk menikmati bayaran EMP sehingga 6 bulan.
  • EBSA merupakan bantuan kewangan sementara bagi pekerja yang telah kembali bekerja semula, sementara dia menerima gaji pada akhir bulan pertama bekerja.
  • EBSA menyumbang kepada penjimatan dana dan menggalakkan penganggur lebih produktif selain mengelakkan pengangguran jangka panjang (lebih daripada 6 bulan). Ini dapat dicapai dengan menggalakkan penganggur kembali bekerja secepat mungkin.

III) ELAUN LATIHAN (EL)

Dalam masa yang sama, penerima faedah EMP juga layak untuk menerima Elaun Latihan (EL). Ini untuk memastikan bahawa calon-calon mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan mereka:

  • Dengan elaun latihan ini, seseorang individu dapat menjalani latihan-latihan peningkatan kemahiran yang disediakan oleh SIP.
  • Dengan Elaun Latihan, yuran akan ditanggung dan dibayar terus kepada penyedia latihan.
  • Bagi setiap program latihan yang dihadiri, elaun latihan yang diberi adalah sebanyak RM 10 hingga RM 20 untuk tempoh maksima 6 bulan.

IV) ELAUN PENDAPATAN BERKURANGAN (EPB)

EPB pula adalah bagi pekerja yang bekerja untuk lebih daripada satu majikan dan kehilangan pekerjaan daripada salah satu majikan tersebut:

  • Elaun Pendapatan Berkurang (EPB) adalah elaun yang akan dibayar kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan bagi majikan yang telah menamatkan pekerjaannya tetapi masih bekerja dengan majikan yang lain.
  • Ia dibayar secara sekaligus (lump sum) kepada pekerja tersebut.
  • Kaedah pengiraan EPB adalah sama seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP). Ia dikira dengan peratusan faedah menurun 80%, 50%, 40%, 40%, 30% dan 30% daripada gaji yang diinsuranskan (GYD).

IV) CARA MEMOHON SIP PERKESO

Sekiranya ingin memohon SIP, klik pautan berikut Portal Faedah SIP

Untuk panduan permohonan faedah SIP, klik pautan berikut Panduan Permohonan Faedah SIP

  • Baca arahan serta Terma dan Syarat yang ditetapkan (Maklumat Am, Senarai Bank, Notis Kenyataan).
  • Klik Setuju.
  • Isi ruangan Semakan Status dengan maklumat-maklumat yang diperlukan seperti No. Kad Pengenalan, Nama, Nama Majikan, Tarikh Kehilangan Pekerjaan (LOE).
  • Klik Mohon dan teruskan mengisi ruangan-ruangan yang selanjutnya.
  • Permohonan yang lengkap akan diproses. Kelayakan akan disemak berdasarkan kelayakan am dan syarat kelayakan caruman.
  • Seterusnya, permohonan tersebut akan disalurkan kepada PERKESO/JTK/JPP bagi menentusahkan kehilangan pekerjaan yang berlaku.
  • Baucer akan disediakan dan wang akan dipindahkan terus ke dalam akaun pemohon apabila telah mendapat kelulusan.

Kadar Caruman EIS

Buat makluman semua kadar caruman bagi SIP adalah campuran 0.2% syer majikan dan 0.2% syer pekerja daripada gaji bulanan pekerja.

SYER MAJIKAN
SYER PEKERJA
0.2% x GAJI (CONTOH: RM 2000)

= RM 4.00

0.2% x GAJI (CONTOH: RM 2000)

= RM 4.00

Jadi, SIP berjumlah RM 4.00 + RM 4.00 iaitu RM 8.00 (Jumlah wang yang ditolak daripada gaji hanyalah RM 4.00 daripada syer pekerja)

Hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda maksimum RM10,000 akan dikenakan kepada pekerja yang melanggar peraturan Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO dan didapati bersalah.

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut berkenaan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan, hubungi: