Permohonan Semak Semula Keputusan Peperiksaan PT3

Pelajar-pelajar tingkatan 3 yang telah menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun 2019 boleh mendapatkan keputusan mulai 19 Disember 2019 di sekolah masing-masing. Syabas dan tahniah buat mereka yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang. Bagi mereka yang kurang bernasib baik atau tidak berpuas hati dengan keputusan yang dimiliki, anda berpeluang untuk membuat semakan semula keputusan PT3.

PT3 adalah sebuah penilaian di tingkatan 3 yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR)  bermula tahun 2014. Ianya merupakan salah satu daripada komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana pelajar akan ditaksir untuk menilai pencapaian akademik di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan 3. Penilaian ini termasuklah ujian bertulis, ujian lisan dan juga melalui pelbagai instrumen bagi subjek-subjek tertentu.

Bagi makluman semua, penyemakan semula peperiksaan tertakluk kepada dasar iaitu Peraturan-peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 1998. Di bawah Bahagian III Perkara 14 – Penyemakan Semula menyatakan mana-mana calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaannya boleh, tidak melebihi tiga puluh hari selepas pengumuman keputusan peperiksaan itu, memohon untuk penyemakan semula keputusan peperiksaanya itu.

Permohonan di bawah subperaturan tersebut hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan oleh Pengarah Peperiksaan dan disertai dengan fee. Pembayaran fee pula terletak di bawah Bahagian II Perkara 7 yang menerangkan bahawa fee atau yuran hendaklah dibayar bagi maksud-maksud yang berikut antaranya ialah bagi tujuan penyemakan semula keputusan peperiksaan.

Permohonan Semakan Semula Keputusan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)

Berikut dikongsikan cara-cara untuk membuat permohonan semakan semula keputusan PT3 serta dokumen yang diperlukan beserta pautan borang semak semula dan maklumat selanjutnya:

Tarikh Permohonan Semakan Semula Keputusan PT3

Dibuka : 19 Disember 2019
Ditutup : Tidak melebihi 30 hari dari tarikh keputusan diumumkan

Sebarang permohonan selepas tarikh tutup permohonan tidak akan diterima

Cara Mendapatkan Borang Permohonan Semak Semula Keputusan PT3

Sila layari pautan di bawah untuk mendapatkan panduan serta borang permohonan semak semula PT3:

BORANG PERMOHONAN SEMAK SEMULA KEPUTUSAN PT3

Sila muat turun borang semak semula keputusan PT3 di pautan di atas dan isikan maklumat yang diperlukan

Borang juga boleh didapati di sekolah dan Sektor/Unit Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing

Penghantaran Permohonann Semak Semula Keputusan PT3

Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar bersama-sama dokumen berikut:

  1. Wang Pos/Kiriman Wang/Bank Draf ditulis atas nama AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA (Resit bayaran akan dikeluarkan oleh JPN selepas rekod e-Terimaan dibuat)
  2. Salinan Pernyataan Keputusan (yang telah disahkan oleh Guru Besar/Pengetua atau Pegawai Kerajaan Kumpulan A)Dokumen-dokumen tersebut beserta borang semak semula hendaklah di hantar ke:
    • Calon Sekolah : 
      Pengetua sekolah di mana keputusan PT3 calon dikeluarkan
    • Calon Persendirian:
      PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI
      Jabatan Pendidikan Negeri (Negeri calon menduduki PT3)
      (u.p:Ketua Sektor, Sektor Penilaian dan Peperiksaan)

Yuran (FEE) Permohonan Semak Semula Keputusan PT3

  1. Yuran (Fee) hendaklah dibayar oleh calon sekolah dan juga calon persendirian
  2. Yuran (Fee) bagi semakan semula keputusan PT3 adalah RM50.00 bagi setiap satu mata pelajaran
  3. Yuran (Fee) hendaklah dibayar dalam bentuk Wang Pos/Kiriman Wang/Bank Draf atas nama AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA. Cek persendirian tidak akan diterima

Pengurusan Permohonan Semak Semula Keputusan PT3

  • Permohonan bagi calon sekolah akan diuruskan oleh pihak sekolah
  • Permohonan calon persendirian pula akan diuruskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)

Keputusan Permohonan Semak Semula Keputusan PT3

Keputusan bagi permohonan semakan semula keputusan PT3 akan dimaklumkan melalui surat rasmi dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh permohonan diterima

Maklumat Lanjut

Sebarang permasalahan berkaitan semak semula PT3 boleh diajukan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing atau di alamat seperti di bawah:

Alamat:
Lembaga Peperiksaan,
Aras 2, Blok E11, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604, Putrajaya, Malaysia.
Portal Rasmi:
http://lp.moe.gov.my/
Telefon / Faks:
+603-80008000
Emel:
80008000@1mocc.gov.my