Seperti biasa tarikh keramat 16 Mei datang lagi pada tahun ini sebagai memenuhi salah satu hari dalam kalendar harian kita dan sekali gus menandakan hari yang telah dimasyhurkan sebagai Hari Guru di Malaysia.
Pendidik adalah individu paling penting sebagai pembina negara bangsa, justeru Hari Guru diraikan bagi menghargai jasa mereka.
Tema sambutan Hari Guru tahun 2024 kali ke 53 adalah “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani”.
Peranan guru kini menjadi lebih mencabar dan kompleks dalam dunia globalisasi tanpa sempadan dengan teknologi yang sentiasa berubah yang memerlukan para pemimpin, profesional, pengurus dan pekerja yang bukan sahaja mahir dan berpengetahuan tinggi tetapi juga bertaraf dunia, mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi, pengetahuan teknologi dan kemahiran komunikasi yang berkesan.
Guru adalah satu profesion yang mulia kerana mereka pendidik generasi akan datang. Oleh itu, guru adalah tonggak dalam pembangunan negara, terutama bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Tema Sambutan Hari Guru 16 Mei 2024 Dan Koleksi Kad Ucapan Selamat Hari Guru
Sempena Hari Guru, adalah tidak cukup sekadar mengucapkan terima kasih. Guru bagaikan lilin membakar diri menerangi kehidupan insan yang bergelar pelajar. Jasa dan pengorbanan guru meletakkan mereka di kedudukan tinggi dalam masyarakat, dihormati dan disegani.
Tema merupakan salah satu unsur yang sangat penting dalam sesuatu kempen agar kewibawaan, konsep dan motif yang direncanakan dapat dihayati dengan cepat dan penuh berprestij oleh rakyat Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan pada 9 Mac 2024 bahawa tema hari guru tahun 2024 adalah Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-53 Tahun 2024 akan diadakan pada 14 hingga 16 Mei 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Maklumat lebih lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Tema Hari Guru 2023 : Guru Insani Pemangkin Generasi Madani
Pada tahun 2023, tema “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani” telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Tema ini berkonsepkan untuk membangkitkan roh dan jiwa guru dalam memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Guru.
Perincian sambutan hari guru tahun 2023 yang dijangka diadakan di Melaka untuk peringkat kebangsaan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Tema Hari Guru 2022 : Guru Tunjang Sekolah Sejahtera
Tema “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” selaras dengan usaha memperkasa dan menyokong aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Konsep Sekolahku Sejahtera akan menjadi satu inisiatif yang memayungi pelbagai usaha lain dan program KPM yang berteraskan penerapan nilai-nilai murni oleh murid-murid.
Dalam konteks berguru, konsep ini dapat menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya kepada penerapan elemen Sejahtera di setiap peringkat. Contohnya di Prasekolah, guru berperanan memperkenalkan nilai-nilai murni ini dan membimbing murid dalam amalan seharian. Pada peringkat Sekolah Rendah pula, peranan guru berubah daripada pembimbing kepada mentor. Murid seharusnya mampu mempamerkan nilai-nilai murni yang diketengahkan. Manakala, peringkat Sekolah Menengah, guru bertindak sebagai fasilitator kepada murid untuk mengamalkan nilai-nilai tersebut dalam setiap aktiviti di sekolah.
Sejahtera merupakan gabungan akronim yang terdiri daripada 14 elemen nilai-nilai murni iaitu S : Selamat, Seronok dan Sihat, E : Etika dan Empati, J : Jati Diri, A : Adab sopan, H : Harmoni, T : Tekun, Teliti dan Terampil, E : Eksplorasi, R : Rasional, A : Artikulasi.
Selain itu, penerapan elemen SEJAHTERA dapat dihayati, setiap aktiviti memerlukan penyatuan tiga (3) domain pembelajaran, iaitu kognitif (cognitive), sosioemosi (socio-emotional) dan tingkah laku (behavioural). Ketiga-tiga domain ini perlu diintegrasikan dalam setiap aktiviti institusi pendidikan yang menekankan kepentingan ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat.
Murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara. Oleh hal demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu. Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan.
KPM yakin bahawa tema “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut iimu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari.
Berikut merupakan tema sambutan Hari Guru di Malaysia bagi tahun 2022 dan juga senarai tema sambutan hari guru bermula dari tahun 1972 sehingga kini.
Tema Dan Logo Sambutan Hari Guru Tahun 2024
TEMA : “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”
Senarai Tema Sambutan Hari Guru Malaysia
Tahun | Tema |
2024 | Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani |
2023 | Guru Insani Pemangkin Generasi Madani |
2022 | Guru Tunjang Sekolah Sejahtera |
2021 | Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu |
2020 | Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu |
2019 | Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi |
2018 | Guru Pemacu Transformasi Pendidikan |
2017 | Guru Pembina Negara Bangsa |
2016 | Guru Pembina Negara Bangsa |
2015 | Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak |
2014 | Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi |
2013 | Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda |
2012 | Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara |
2011 | Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara |
2010 | Guru Pembina Negara Bangsa |
2009 | Guru Pembina Negara Bangsa |
2008 | Guru Cemerlang Negara Terbilang |
2007 | Guru Penjana Modal Insan Cemerlang |
2006 | Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan |
2005 | Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan |
2004 | Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan |
2003 | Guru Berkualiti Aspirasi Negara |
2002 | Guru Berkualiti Aspirasi Negara |
2001 | Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama |
2000 | Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan |
1999 | Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang |
1998 | Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama |
1997 | Guru Bestari Sekolah Bestari |
1996 | Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia |
1995 | Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan |
1994 | Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan |
1993 | Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan |
1992 | Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan |
1991 | Ke Arah Pendidikan Cemerlang |
1990 | Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera |
1989 | Guru Pembina Budaya Ilmu |
1988 | Guru Pengasas Budaya Membaca |
1987 | Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan |
1986 | Pendidikan Teras Nasionalisme |
1985 | Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan |
1984 | Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan |
1983 | Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan |
1982 | Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu |
1981 | Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat |
1980 | Pendidikan Teras Perpaduan Negara |
1979 | Murid Sejahtera Negara Jaya |
1978 | Guru Pembentuk Generasi Akan Datang |
1977 | Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan |
1976 | Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan |
1975 | Guru dan Pembangunan Negara |
1974 | Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi |
1973 | Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan |
1972 | Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara |