Kerajaan mansuh BR1M perkenal bantuan sara hidup kepada rakyat

Sebelum pilihanraya umum ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir telah mengumumkan pemberian BR1M akan diteruskan jika dipilih sebagai kerajaan pemerintah yang baru. Kini, kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan telah mengumumkan beberapa penambahbaikan dan pertukaran polisi dalam pentadbiran negara.

Terdapat beberapa projek/ Inisiatif kerajaan di bawah kerajaan terdahulu telah dibatalkan dengan sebahagian daripadanya diteruskan dan ditambah baik.

Seperti yang dijanjikan, kerajaan akan terus memberikan bantuan kewangan sebagai subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pada 30 Mei 2018, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) akan digantikan dengan Bantuan Sara Hidup.

Bantuan Sara Hidup 2018 Ganti BR1M

Buat masa ini, tiada perubahan ketara yang dilakukan dalam skim bantuan sara hidup kepada rakyat berpendapatan rendah kerana hanya pembaharuan nama yang dilakukan. Penerima-penerima BR1M sedia ada tidak perlu risau kerana akan terus menerima bantuan kewangan ini pada kadar bayaran bantuan yang sama. Pemberian bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan beban kos sara hidup golongan yang memerlukan.

Selain bantuan sara hidup, beliau turut mengumumkan beberapa perubahan polisi yang lain hasil daripada keputusan mesyuarat kabinet mingguan.

Ringkasan Sidang Media Perdana Menteri, 30 Mei 2018

Sebagai makluman, berikut merupakan intipati sidang media selepas Mesyuarat Kabinet kali kedua oleh Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad:-

  1. Diskaun bayaran tol sebanyak  50%  di semua konsesi lebuh raya dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
  2. Bonus Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada penjawat awam Gred 41 dan kebawah manakala RM 200 buat pesara kerajaan
  3. Pembayaran Bantuan Sara Hidup kepada rakyat menggantikan BR1M dengan jumlah bantuan yang sama dan dibayar untuk Fasa 2 pada 6 Jun 2018
  4. Harga minyak diesel dan petrol RON 95 dikekalkan manakala RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran minyak  brent  dunia
  5. Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018
  6. Pengenalan Tabung Harapan Malaysia sebagai saluran derma umum bagi melunaskan hutang negara
  7. Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan 41 perlawanan kejohanan bolasepak Piala Dunia 2018 dengan 27 perlawananakan disiarkan secara langsung (Live)
  8. Misi pencarian kapal terbang MH370 diberhentikan serta merta
  9. Pembatalan projek pengangkutan MRT3
  10. Pembatalan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) bergantung kepada hasil perbincangan bersama Singapura kerana melibatkan penalti yang tinggi
  11. Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) belum rasmi dibatalkan dan masih dalam kajian
  12. Pelaksanaan skim kawalan harga sempena Hari Raya Aidil Fitri